KOTA KINABALU: Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam siri operasi penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini, semalam.
Operasi bermula jam 11.30 pagi hingga 3 pagi itu membabitkan Ops Selera, Ops Mahir dan Ops Sapu, hasil aduan awam serta risikan Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu.
Menurut kenyataan rasmi JIM Sabah berkata, pemeriksaan terhadap 54 individu mendapati 12 warga Filipina dan 17 warga Indonesia tidak memiliki dokumen sah atau tinggal lebih masa.
“Semua tahanan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu menegaskan, JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi PATI serta menggesa masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka.
