KOTA KINABALU – Pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor mengenai penambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun hadapan sebagai bukti nyata keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar beliau berkata, langkah itu akan menjadikan keseluruhan 50 unit Rumah Mesra SMJ bagi setiap DUN di seluruh Sabah, sekaligus memperluas peluang rakyat memiliki kediaman yang selesa dan mampu milik.
“Keputusan ini membuktikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat memahami keperluan rakyat.
“Ini khususnya kepada golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga dan berdepan tekanan kos sara hidup serta cabaran mendapatkan tempat tinggal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nizam berkata, tambahan unit berkenaan bukan sahaja memberi kelegaan kepada rakyat, malah mencerminkan keberkesanan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang benar-benar menyentuh kehidupan masyarakat di semua peringkat.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan projek Rumah Mesra SMJ ini menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan perumahan rakyat dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi kawasan bandar dan luar bandar.
“Pendekatan kerajaan negeri yang menggabungkan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta juga merupakan langkah strategik yang mempercepatkan pelaksanaan pembangunan tanpa membebankan kewangan negeri,” katanya.
Tambahnya, langkah tersebut turut membolehkan kerajaan menumpukan sumber kewangan kepada inisiatif sosioekonomi lain yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, selaras dengan matlamat utama pelan pembangunan SMJ.
“Dalam tempoh beberapa tahun ini, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah membuktikan bahawa agenda Sabah Maju Jaya bukan sekadar slogan, tetapi satu pelan tindakan berkesan yang berpaksikan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
