KOTA MARUDU – Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda membuat langkah berani apabila mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau itu berkata, keputusan tersebut dibuat atas permintaan rakyat di kawasan berkenaan yang juga kampung halamannya dan majoriti pengundinya terdiri daripada kaum Rungus.
“Keputusan saya bertanding di Matunggong adalah atas permintaan rakyat di kawasan tersebut,” katanya selepas melancarkan jentera PRN KDM bagi DUN Matunggong, Bandau dan Tandek pada Sabtu.
Menurutnya, walaupun sedar ia bukan tugas mudah kerana Matunggong merupakan kubu kuat Parti Bersatu Sabah (PBS), namun beliau yakin rakyat mahu melihat perubahan sebagaimana yang berlaku di Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, Wetrom mencipta kejutan apabila menewaskan Presiden PBS ketika itu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di kerusi Parlimen Kota Marudu.
Ketika ini, DUN Matunggong diwakili Datuk Julita Majungki daripada PBS.
