TAWAU: Polis mengeluarkan 20 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi bersepadu membanteras lumba haram di KM45 Jalan Tawau–Semporna, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, operasi yang bermula jam 5.01 petang hingga 9 malam itu dilaksanakan Balai Polis Bandar Sri Indah bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Katanya, seramai 19 anggota polis terbabit dalam operasi berkenaan termasuk 17 dari Balai Polis Bandar Sri Indah dan dua daripada BSPT.
“Sebanyak 19 motosikal diperiksa membabitkan penunggang lelaki. Antara kesalahan paling banyak dikesan ialah motosikal tanpa cermin sisi, ekzos diubah suai, nombor plat tidak ikut spesifikasi, tiada lesen memandu dan aksesori tidak sempurna,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, tiada tangkapan atau sitaan dilakukan, namun pemeriksaan turut melibatkan semakan melalui sistem MCOP/MCAD.
Katanya, operasi berkenaan berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini dan usaha sama akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Polis akan terus bertindak tegas membanteras lumba haram yang membahayakan penunggang sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.