TAWAU: Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk terus menyantuni rakyat di semua peringkat termasuk di kawasan pedalaman bagi memastikan setiap keperluan masyarakat diberi perhatian sewajarnya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pendidikan kekal menjadi keutamaan dalam usaha transformasi negeri dengan Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) menjadi antara penyumbang terbesar melalui biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pendidikan sejak sekian lama.

Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh University College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) sebagai platform melahirkan graduan berilmu, berkemahiran serta berakhlak, yang kini bukan sahaja berkhidmat di Sabah, malah di seluruh Malaysia dan luar negara.
“Kerajaan turut menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk memastikan pelajar tidak tercicir kerana kekangan kewangan.

“Program bimbingan menerusi Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) pula memberi kemudahan kepada ibu bapa mendapatkan maklumat dan mengemukakan dokumen secara terus,” katanya ketika ucapannya dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, di sini semalam.
Menurutnya, inisiatif itu selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat.
Katanya, golongan muda perlu dilengkapi ilmu dan kemahiran kerana mereka adalah cerminan masa depan negeri.
Selain pendidikan, KYS turut melaksanakan pelbagai program pembangunan masyarakat termasuk keusahawanan, latihan kemahiran, pertanian, perikanan serta pembangunan luar bandar. Program STEM, seminar motivasi dan Program Komuniti Kraf (PKK) antara inisiatif yang memberi impak terus kepada pelajar dan komuniti.

Dalam masa sama, beliau berkata, kelestarian alam sekitar turut menjadi agenda penting dengan pelaksanaan Projek Konservasi Hutan Hujan Kuamut melibatkan kawasan seluas 83,381 hektar.
“Projek pertama seumpamanya di Malaysia itu bertujuan menangani isu perubahan iklim, mengurangkan pelepasan karbon, memelihara biodiversiti serta memberi manfaat kepada komuniti setempat,” jelasnya.
Hajiji berkata, KYS juga membuktikan sektor komersial dan tanggungjawab sosial boleh bergerak seiring melalui Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) serta syarikat lain termasuk Sabah Softwoods Berhad dan Benta Wawasan Sdn Bhd. ICSB mengisytiharkan dividen RM150 juta pada 2024, tertinggi empat tahun berturut-turut,

“Semua pencapaian ini membuktikan kestabilan politik dan sokongan rakyat menjadi kunci kejayaan.
“Justeru, saya menyeru semua pihak termasuk pemimpin akar umbi, agensi kerajaan, NGO dan sektor swasta bersama menjayakan Jerayawara YSBR 2025 demi perpaduan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.