KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli dalam kalangan warganya, termasuk yang berlaku secara fizikal, mental, emosi mahupun dalam talian.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, berkata universiti memandang serius isu berkenaan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian pelajar di kampus.
“Setiap mahasiswa perlu memahami bahawa kebebasan yang dinikmati di universiti datang bersama tanggungjawab untuk menghormati dan menyokong antara satu sama lain.
“UMS tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli. Jika berlaku, laporkan segera, kerana universiti ini adalah tempat yang selamat untuk pelajar belajar dan berkembang,” katanya di sini hari ini.
Pelajar Diingatkan Fokus Kepada Pembangunan Diri
Dr. Kasim turut mengingatkan bahawa budaya buli tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan mahasiswa, sebaliknya mereka perlu memberi perhatian kepada pencapaian akademik, pembangunan sahsiah dan jati diri sebagai insan berilmu dan berakhlak.
“Ingatlah, anda datang ke sini bukan untuk menjatuhkan rakan, tetapi untuk sama-sama bangkit menuju kejayaan,” katanya.
UMS Prihatin Isu Kebajikan Pelajar
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pihak universiti sentiasa peka terhadap kebajikan pelajar, khususnya berkaitan kemudahan asas seperti bekalan air di kolej kediaman.
“Sebarang isu berkaitan prasarana akan ditangani segera bagi memastikan mahasiswa dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian tanpa terganggu oleh perkara asas,” jelasnya.
Graduan UMS Terus Menjadi Pilihan Majikan
Mengulas mengenai pencapaian universiti, Dr. Kasim memaklumkan bahawa UMS berjaya mencatatkan Kadar Kebolehpasaran Graduan sebanyak 94.7 peratus pada tahun 2024, dengan 93.9 peratus daripada mereka berjaya memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen UMS dalam melahirkan graduan yang berkualiti, berdaya saing dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat, industri serta negara,” katanya.