KOTA KINABALU – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan menggesa kerajaan Persekutuan menghentikan campur tangan berlebihan dalam urusan negeri Sabah.
Beliau berkata, tindakan tersebut telah menjejaskan kedaulatan serta hak-hak negeri yang dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, pelbagai undang-undang Persekutuan yang diperkenalkan sejak dahulu telah menyebabkan kuasa negeri semakin terhakis.
“Antara yang paling ketara ialah Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan sempadan maritim Sabah kepada hanya tiga batu nautika, sekali gus menjejaskan kawalan negeri terhadap sumber luar pesisir,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, Akta Perikanan 1985 dan Akta Bekalan Elektrik 1990 turut memusatkan kuasa di Putrajaya, menjadikan Sabah bergantung kepada keputusan kerajaan Persekutuan walaupun melibatkan isu yang menyentuh sumber dan kepentingan negeri.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, langkah devolusi kuasa yang diumumkan sebelum ini masih belum memberi kesan kerana negeri tetap terikat kepada undang-undang Persekutuan.
“Sabah memerlukan pemulangan penuh kuasa untuk menggubal undang-undang, mengawal selia sumber dan memungut hasil sendiri,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan terhadap kenyataan Yang di-Pertua Negeri Sarawak baru-baru ini yang turut membangkitkan isu penghakisan kuasa negeri melalui undang-undang Persekutuan seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Jeffrey turut menuntut semakan semula semua undang-undang yang bercanggah dengan pembahagian kuasa Perlembagaan, serta pemulangan hak hasil negeri termasuk 40 peratus hasil bersih yang dijanjikan di bawah MA63.
“Hak Sabah bukan ihsan daripada Putrajaya. Ia adalah kewajipan yang telah dipersetujui dan terlalu lama tertangguh.
“Sebagai anak jati Sabah, saya akan terus memperjuangkan hak negeri agar kedaulatan dihormati dan masa depan rakyat terjamin,” katanya.