KOTA KINABALU – Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) menegaskan komitmen mereka untuk menangani jurang bekalan berbanding permintaan elektrik di Pantai Timur negeri ini melalui strategi menyeluruh dan bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, langkah itu turut memastikan kestabilan tenaga jangka panjang di kawasan berkenaan, selain memodenkan infrastruktur grid sedia ada yang dikendalikan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Menurutnya, strategi itu dibangunkan melalui kerjasama erat dengan kerajaan negeri menerusi Majlis Tenaga Sabah yang dipengerusikan Ketua Menteri, dengan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur grid kritikal dan pelaksanaan segera projek penjanaan.
“Pendekatan ini dilaksanakan secara serentak dengan inisiatif interim segera yang kini sudah beroperasi, bagi memastikan rakyat di Pantai Timur tidak terus berdepan gangguan bekalan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Abdul Nasser berkata, antara langkah segera yang memberi kesan besar ialah mengukuhkan sambungan Grid Timur-Barat, selain memastikan loji janakuasa Diesel dan MFO di Pantai Timur berada pada tahap ketersediaan tinggi.
Untuk jangka sederhana, katanya, sebuah loji janakuasa LNG berkapasiti 160MW akan dibina di Tawau seperti diluluskan Majlis Tenaga Sabah pada Julai lalu, yang dijangka siap menjelang 2028 sebagai penyelesaian interim ke arah kecukupan tenaga.
Dalam perancangan jangka panjang, projek Southern Link 275kV dari Sipitang ke Tawau bakal menjadi tunjang utama sistem Grid Sabah, sekali gus meningkatkan keseluruhan kapasiti penghantaran elektrik negeri ini.
“Kerajaan negeri melalui ECoS turut mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dengan projek solar 100MW di Pantai Timur, hidroelektrik 141MW di Sungai Segama, serta RFP bagi tambahan solar 250MW, sistem simpanan tenaga BESS 200MW/400MWh, biotenaga dan geoterma di Tawau. Malah, teknologi baharu seperti tenaga nuklear juga sedang diteliti,” jelasnya.