Dua bot Vietnam ceroboh perairan Kudat, RM6 juta dirampas

KUDAT: Dua bot nelayan asing Vietnam bersama 11 kru termasuk tekong dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menceroboh perairan negara di barat laut Pulau Straggler, semalam.

Dalam serbuan itu, semua kru berusia 17 hingga 48 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan perjalanan sah.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kedua-dua bot terbabit dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua mereka ditahan bersama bot, peralatan menangkap ikan dan hasil laut. Nilai rampasan dianggarkan mencecah RM6 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bot berkenaan diiring ke Jeti Tahanan Vesel Zon Maritim Kudat dalam perjalanan hampir 12 jam sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Hasbullah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang pencerobohan nelayan asing kerana ia menjejaskan sumber laut negara serta menimbulkan kerugian besar kepada nelayan tempatan.

Beliau turut menyeru orang ramai terutama komuniti maritim supaya menyalurkan maklumat aktiviti mencurigakan ke Pusat Operasi Kudat di 088-611858 atau talian kecemasan 999.