Malaysia, Indonesia bincang isu telekomunikasi dua minggu lagi – Fahmi

LAHAD DATU: Masalah limpahan signal telekomunikasi dari Indonesia yang membelenggu penduduk di Pulau Sebatik, Tawau bakal dibincangkan dalam mesyuarat kerjasama Malaysia-Indonesia yang dijadual berlangsung di Kota Kinabalu dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat itu akan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama agensi berkaitan dari negara jiran.

“Antara isu utama yang akan dibangkitkan ialah masalah liputan di Pulau Sebatik yang menerima gangguan signal telekomunikasi dari Indonesia selain isu spektrum.

“Setakat ini, MCMC akan laksanakan penyelesaian sementara termasuk pemasangan repeater, namun ia tidak mencukupi.

“Perbincangan dengan rakan sejawat Indonesia perlu dibuat untuk penyelesaian jangka panjang,” katanya di sini semalam.

Fahmi berkata, liputan Internet di kawasan berpenduduk di Sabah kini mencecah 95.30 peratus dan dijangka meningkat lagi melalui inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Menara baharu yang siap hujung tahun ini akan melonjakkan liputan purata nasional kepada 98.6 peratus. Namun untuk capai 100 peratus, kita tidak hanya bergantung pada menara kerana kosnya tinggi dan ada isu tanah.

“Dalam fasa dua JENDELA, kita akan gunakan pelbagai teknologi yang lebih bersesuaian mengikut kawasan,” katanya.