KOTA KINABALU: Pelaksanaan agenda pembangunan di bawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak hampir lima tahun lalu adalah bukti nyata keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan bahawa mandat yang diberikan rakyat sejak September 2020 tidak disia-siakan.
Katanya, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan menyeluruh yang memberi kesan langsung kepada pertumbuhan negeri.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sindiran, kepimpinan kerajaan tetap teguh melaksanakan amanah rakyat. SMJ bukan sekadar slogan, ia satu pelan bertindak yang telah mula menampakkan hasil,” katanya di sini malam tadi.
Sabah Bangkit Dari Krisis
Hajiji mendedahkan, ketika mengambil alih tampuk pentadbiran pada tahun 2020, Sabah berada dalam situasi krisis ekonomi paling buruk dalam sejarah.
“Namun, melalui pelaksanaan SMJ 1.0 yang digariskan secara teliti, negeri ini kembali bangkit.
“Daripada sebuah negeri yang hanya bergantung kepada hasil bumi, kita kini berjaya mempelbagaikan sumber pendapatan seperti pelancongan, perladangan, perhutanan dan petroleum. Ekonomi Sabah kini semakin berkembang pesat,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat dan sektor swasta yang terus memberikan sokongan biarpun berdepan cabaran global.
Pelaburan & Pendidikan Jadi Keutamaan
Dalam tempoh lima tahun, Hajiji memaklumkan bahawa kerajaan negeri berjaya menarik lebih banyak pelaburan masuk serta meningkatkan hasil negeri secara ketara.
Beliau juga menekankan bahawa pembangunan modal insan terus menjadi agenda utama kerajaan.
“Sebanyak RM1.3 bilion telah dibelanjakan dari 2021 hingga 2024 untuk sektor pendidikan dan pembangunan belia.
“Kita mahu anak muda Sabah bersedia menghadapi cabaran global dengan ilmu dan kemahiran,” katanya.
Hari Sabah Simbol Kebebasan dan Perpaduan
Mengulas sambutan Hari Sabah tahun ini yang bertemakan “Untukmu Sabah Tanah Airku”, Hajiji menegaskan ia bukan sekadar mengenang sejarah, malah menjadi simbol perpaduan dan tekad rakyat untuk terus membina negeri yang berdaulat.
“Masa depan Sabah terletak di tangan kita sendiri. Marilah kita terus berganding bahu memastikan negeri ini terus makmur dan rakyatnya hidup bersatu padu,” ujarnya.
Beliau turut menyeru generasi muda agar memahami erti kemerdekaan dan menghargai perjuangan generasi terdahulu, sambil mempersiapkan diri sebagai pewaris negeri.
“Keharmonian dan keamanan yang kita nikmati hari ini perlu terus dipertahankan demi generasi akan datang,” katanya lagi.