KOTA KINABALU: Lima remaja perempuan yang berdepan pendakwaan di Mahkamah Kota Kinabalu di sini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina Mahathir, yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah 16 Julai lalu.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu sejurus jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus pada prosiding yang dijalankan secara tertutup di bilik mahkamah khas kanak-kanak.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kelima-lima tertuduh mencapai niat bersama dengan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina di sekolah di daerah Papar pada pukul 10 hingga 11 malam, 15 Julai lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Seksyen 507C(1) memperuntukkan, sesiapa yang, dalam apa jua cara, menggunakan atau menyampaikan kata-kata mengugut, menghina, mencerca, melakukan perbuatan mengugut, menghina atau mencerca dan kata-kata atau perbuatan tersebut diketahui atau boleh difahami oleh seseorang yang berkemungkinan merasa terganggu, distress, takut atau bimbang, boleh dikenakan hukuman penjara hingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya.
Seksyen 34 pula menjelaskan apabila suatu perbuatan jenayah dilakukan oleh beberapa orang secara bersama-sama mengikut niat bersama mereka, maka setiap orang daripada mereka adalah bertanggungjawab atas perbuatan itu seolah-olah dilakukan seorang diri.
Bagaimanapun, mengikut Akta Kanak-kanak 2001, identiti kesemua remaja itu tidak boleh didedahkan kerana di bawah umur 18 tahun.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000 serta seorang penjamin dengan RM1,000 sebagai deposit.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 September dan 16 Oktober ini, manakala pendengaran kes bermula 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan mengendalikan pendakwaan terhadap kesemua tertuduh.
Pasukan pembelaan, Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada tertuduh berkenaan, manakala baki empat tertuduh lagi diwakili oleh peguam, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.
Sementara itu, Nor Azizah ketika ditemui di luar mahkamah memberita pemberita, pasukan pembelaan memohon larangan perintah mahkamah (gag order).
Pasukan peguam, Hamid Ismail mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina pula meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan berhubung pendakwaan lima remaja berkaitan perbuatan buli berikutan perintah larangan itu yang bertujuan bagi menghalang maklumat dalam prosiding berkenaan didedah kepada umum dan penghinaan mahkamah.
“Banyak perkara yang tidak boleh didedahkan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak, apa saja tidak boleh didedahkan termasuk sepanjang siasatan atau prosiding di mahkamah,” katanya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth 1 pada 17 Julai lalu selepas dijumpai tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah.
Kes kematian pelajar sebuah sekolah menengah di Papar itu mendapat perhatian umum sehingga mencetus gelombang ‘Justice for Zara’.