KOTA KINABALU: PKR Sabah mengingatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya gabungan politik itu bersyukur dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah atas jasa yang diberi susulan pergolakan politik kerajaan negeri sebelum ini.
Perkara itu timbul selepas beberapa pemimpin GRS yang salah faham dan bertindak mengecam Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud yang didakwa menuduh GRS sebagai liabiliti, sedangkan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, laporan berita yang menyiarkan kenyataan Mustapha tentang liabiliti sebenarnya berdasarkan maklum balas kepada kenyataan oleh Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir pada 14 Ogos lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, berbanding mengenang jasa PH Sabah yang menyelamatkan kerajaan negeri daripada bertukar kerana Langkah Kinabalu, namun gabungan politik itu memilih untuk merenggangkan keadaan.
“Pimpinan GRS sepatutnya bersyukur dengan komitmen perdana menteri dan PH Sabah yang telah menyelamatkan kerajaan negeri daripada bertukar kerana Langkah Kinabalu sebelum ini.
“Mustapha hanya menyatakan kegusaran tentang pandangan tersebut dan bukan meletakkan GRS sebagai liabiliti dalam kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Fakta utama yang dinyatakan tetapi gagal difahami ialah bagaimana komitmen PKR Sabah dalam memastikan kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
“PKR Sabah amat menghormati kepimpinan ketua menteri dan menghargai kerjasama baik antara GRS dan PH, namun, janganlah pandangan kami disalaherti hanya kerana laporan media yang kadangkala tidak menggambarkan intipati suara hati sebenar, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, PKR Sabah menggesa supaya GRS dan PH segera memuktamadkan rundingan kerusi dengan adil dan strategik
“Pendekatan berunding mestilah bersama pimpinan PH Sabah dan bukannya dengan parti-parti komponen saja, justeru, kerjasama baik antara PH dan GRS yang perlu dipertahankan dan bukannya mencabar perdana menteri,” katanya.
Sebelum ini, portal berita melaporkan, Suhaimi menyifatkan GRS sebagai liabiliti menjelang PRN dan menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama rasmi dengan gabungan itu.
Suhaimi mengekalkan pendirian BN untuk berhati-hati daripada bekerjasama secara rasmi dengan GRS, manakala PH mengambil peranan ‘orang tengah’ dalam rundingan kerusi menjelang PRN.
Bagi Mustapha, pengekalan kestabilan dalam kalangan parti dalam kerajaan adalah keutamaan untuk menghadapi PRN akan datang, meskipun ada kebimbangan berhubung kedudukan GRS berisiko menjadi liabiliti.
Ketua Gagasan Rakyat Pantai Dalit, Jasnih Daya kemudian menasihati Mustapha supaya tidak merosakkan kerjasama antara GRS dan PH serta mengingatkannya supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.
Pemuda Gagasan Rakyat Darau yang menyifatkan Mustapha sendiri sebagai liabiliti kerana gagal menunjukkan prestasi baik sebagai anggota Parlimen Sepanggar.
