KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin berkata, tuduhan ADUN Kunak, Norazlinah Arif, mendakwa parti itu terlibat dalam “Langkah Kinabalu” Januari 2023, dengan menyifatkannya sebagai tidak berasaskan fakta.
Azhar berkata, ketika itu kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor masih ahli Bersatu Sabah dan BN berada dalam kabinet yang sama.
“WARISAN pula kekal sebagai pembangkang dan tidak memiliki kerusi mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan.
“Hakikatnya, ‘Langkah Kinabalu’ adalah perebutan kuasa antara BN dan Bersatu/GRS. WARISAN langsung tidak terlibat. Tuduhan Norazlinah hanyalah cubaan memutar belit fakta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Azhar merupakan Bendahari Parti Warisan (WARISAN) turut menepis dakwaan kononnya WARISAN bukan lagi parti tempatan kerana melebarkan sayap ke Semenanjung.
Katanya, langkah itu strategi untuk memastikan suara Sabah sampai ke Parlimen dan mempengaruhi keputusan nasional.
“Serangannya Norazlinah ini lebih nampak seperti mahu ambil hati ketua barunya, bukan demi rakyat.
“Kita juga mempertikaikan kredibiliti Norazlinah yang sering bertukar parti, untuk kepentingan peribadi bukan rakyat,” kata Azhar.
