KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Parti WARISAN (WARISAN) mencadangkan kerajaan supaya menjadikan Kota Belud sebagai hab pendaratan ikan laut dalam.
Ahli Parlimen daerah itu, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, cadangan itu susulan kedudukan Kota Belud sebagai daerah strategik dan menyokong ekonomi biru Sabah.
“Bekas pelabuhan RANKO adalah lokasi sesuai kerana boleh diguna oleh kapal ikan laut dalam dan hanya mengambil masa kurang satu jam ke Kota Kinabalu jika menggunakan jalan PanBorneo,” katanya semasa membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, potensi industri perikanan di daerah itu terbantut kerana muara Sungai Abai semakin cetek.
“Saya sudah berkali-kali cakap mengenai hal ini di Parlimen dan melalui beberapa surat yang saya hantar ke kementerian.
” Muara Abai ini kena didalamkan semula bukan sahaja untuk menyelamatkan industri perikanan, malah juga dapat mengelakkan berlaku banjir. Sekarang yang berlaku hulu sungai lagi dalam dari muara sedangkan yang perlu dikorek ini muara, bukan hulu sungai. Nelayan yang perlu diselamatkan, bukannya pasir, ” katanya.
Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dilaporkan berkata, Sabah di landasan tepat untuk muncul sebagai hab perikanan laut dalam terunggul di rantau ini susulan pelbagai kelebihan strategik yang dimiliki, termasuk berada di laluan migrasi tuna antarabangsa.
Katanya, Sabah turut memiliki pelabuhan semula jadi yang terlindung dan berdekatan dengan negara pengeluar utama seperti Indonesia, Filipina dan Papua New Guinea.
