KIULU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mendominasi dan mengawal naratif politik di Sabah dalam apa jua bentuk kerjasama dengan parti berteraskan nasional.
Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, perkara itu selaras dengan sentimen dan aspirasi majoriti rakyat Sabah yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap gabungan yang diterajui parti tempatan untuk memacu masa depan negeri ini.
“Kita tidak boleh mengabaikan suara rakyat kerana sentimen semakin kuat agar parti tempatan memimpin hala tuju negeri ini adalah nyata dan perlu dihormati.
“Namun dalam menangani perkara ini, kita juga perlu bertindak dengan bijak dan berpandangan jauh,” katanya di sini hari ini.
Joniston merupakan Ketua Penerangan PBS menegaskan bahawa sebarang keputusan politik yang dibuat harus berpaksikan kepentingan jangka panjang Sabah dan bukannya dipengaruhi emosi atau tekanan luar.
Beliau berkata, meskipun GRS telah bekerjasama dengan baik bersama rakan Persekutuan seperti Pakatan Harapan (PH), sebarang bentuk kerjasama pada masa depan perlu berteraskan komitmen yang jelas dan mengikat terhadap hak Sabah.
Katanya, ini termasuklah tuntutan lama yang belum diselesaikan iaitu pemulangan 40 peratus hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan dari negeri ini.
“Jika ada sebarang bentuk kerjasama berterusan, ia mesti disertakan dengan jaminan rasmi.
“Hak Sabah mesti dihormati dan dilaksanakan, bukan sekadar dijadikan bahan kempen semasa pilihan raya,” katanya.
Joniston berkata bahawa rundingan pengagihan kerusi mestilah berasaskan perbincangan yang adil serta mencerminkan kekuatan dan sokongan parti berteraskan Sabah.
Beliau menegaskan bahawa walaupun GRS kini menerajui Kerajaan Negeri bersama PH, sebarang kerjasama masa depan perlu sejajar dengan aspirasi rakyat Sabah serta berlandaskan semangat saling menghormati.
“Kita menghargai kerjasama bersama rakan di peringkat nasional, tetapi rakyat Sabah mesti berada di tempat pemandu dalam menentukan masa depan negeri ini.
“Ia adalah soal mencari keseimbangan antara perpaduan dan autonomi. GRS kini menerajui kerajaan negeri dengan kerjasama PH berasaskan persefahaman bersama.
“Apa yang mesti dielakkan ialah membuat keputusan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat, termasuk memberi ruang kepada parti-parti yang pernah menggugat kestabilan kerajaan negeri,” katanya.