125 PATI ditahan operasi penguatkuasaan di Sandakan

SANDAKAN : Seramai 125 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan selepas dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan imigresen di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata,  antara ditahan termasuk 35 lelaki, 34 wanita, 27 kanak-kanak lelaki serta 29 kanak-kanak perempuan.

Katanya, kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Sandakan untuk melalui proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka juga didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sitti Saleha berkata, operasi bermula 24 hingga 25 Julai memeriksa seramai 212 orang di beberapa lokasi berdasarkan risikan awal di sekitar daerah Sandakan.

“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah mengingatkan semua pihak, khususnya majikan supaya tidak melindungi atau menggaji PATI tanpa dokumen yang sah.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersubahat atau melindungi warga asing yang melanggar undang-undang,” jelas Sitti Saleha.