Rokok seludup pelbagai jenama berjumlah lebih RM500,000 dirampas

LAHAD DATU : Polis berjaya merampas 215,600 batang rokok pelbagai jenama berjumlah RM507,590 di sebuah premis di kawasan Silam, di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam, pasukan Unit Gempur Marin (UNGERIN) menyerbu premis terbabit dipercayai menyimpan  rokok seludup pelbagai jenama.

Katanya, pihaknya turut menyita dua kenderaan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan operasi haram mereka.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun bagi membantu siasatan dalam kes terbabit.

“Siasatan awal mendapati, rokok ini dipercayai untuk diedarkan di kawasan Pantai Timur negeri ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Nazri berkata, kes ini akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan.

“PPM Wilayah Empat Sabah akan terus komited membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” jelas Mohd Nazri.