KOTA KINABALU : Seramai 56 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan dijalankan di sekitar kawasan Kota Kinabalu serta Tuaran di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua mereka yang ditahan ini disyaki melakukan kesalahan di bawah akta imigresen.
Katanya, antara yang ditahan ini terdiri daripada tiga lelaki dewasa warganegara Indonesia manakala 53 warga Filipina.
“Operasi operasi penguatkuasaan ini bermula pada 16 hingga sehingga 17 Julai lalu memeriksa seramai 142 orang sekali gus menyasarkan kawasan sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran.
“Kesemua mereka dipercayai melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.
Sitti Saleha berkata, kesemua tahanan ini dibawa ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk menjalani proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menegaskan bahawa usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa.
“Kita menyeru agar orang awam agar dapat menyalurkan maklumat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil kerana mengaji pekerja tanpa dokumen yang sah,” jelas Sitti Saleha.
