Wanita Mengamuk Bersenjatakan Parang, Kapak Ditahan

TAWAU: Seorang wanita ditahan selepas didapati mengamuk sambil membawa sebilah parang di hadapan sebuah premis perniagaan di kawasan bandar disini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 39 tahun tersebut dipercayai bertindak agresif sambil memandu sebuah kereta dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.

Katanya, tindakan pantas anggota rondaan dari Balai Polis Tawau berjaya mengawal keadaan sekali gus menahan wanita terbabit sebelum insiden menjadi lebih buruk.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati seorang wanita sedang memegang sebilah parang sebelum polis bertindak pantas menahan suspek serta merampas senjata terbabit.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaannya, Polis menemukan sebilah kapak yang disembunyikan di dalam bonet kereta yang digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Jasmin berkata, semua barangan yang dirampas termasuk senjata dan kenderaan digunakan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” jelas Jasmin.