Lawatan Perdana Menteri, Cermin Hikmah Politik Berteraskan Kejujuran, Kerjasama – Aksyah

KOTA KINABALU : Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) ke Sabah merasmikan Pesta Kaamatan Jumaat lalu memberi gambaran jelas terhadap komitmen kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh hubungan kerjasama bersama kerajaan negeri.

Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah berkata, lawatan itu bukan sahaja memperlihatkan pengiktirafan PMX terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), malah mencerminkan keikhlasan khususnya dibawah gabungan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus.

Katanya, pengumuman terhadap rundingan antara kerajaan Sabah dan Petronas berpaksikan kepada undang-undang dan bukan persepsi semata-mata, serta penambahan peruntukan untuk menangani isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS). 

“Langkah ini dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap keutamaan negeri dalam agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Kenyataan dan tindakan PMX memberi petunjuk jelas bahawa kerajaan Persekutuan mengiktiraf kestabilan politik Sabah di bawah pimpinan GRS-PH Plus.

“Hajiji secara konsisten memperjuangkan kerjasama politik yang inklusif dan penghargaan perlu diberikan kepada PH Plus atas sokongan utuh yang memungkinkan GRS menjadi kerajaan yang sah hingga hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Aksyah menegaskan bahawa suasana politik yang stabil ini seharusnya dimanfaatkan oleh rakyat Sabah, dengan menjadikan GRS sebagai teras dalam sebarang rundingan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17. 

Menurutnya, sikap saling menghormati dalam kalangan pimpinan adalah asas kepada kestabilan yang dikecapi kini.

Mengulas kritikan terhadap kejujuran PMX, Aksyah menyifatkannya sebagai suara sumbang yang cuba menggugat kerjasama baik antara dua peringkat kerajaan. 

Beliau menyeru rakyat supaya tidak terperangkap dalam naratif pembangkang yang hanya akan menjejaskan pembangunan dan kemajuan Sabah.

“Rakyat perlu bijak menilai, hampir semua isu yang dibangkitkan pembangkang telah pun diambil tindakan dan hanya menunggu untuk disiapkan serta dipulihkan sepenuhnya,” katanya.