Majlis Rumah Terbuka Shahelmey dimeriahkan 6,000 hadirin  

PUTATAN : Lebih 6,000 hadirin menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya di Dewan Sri Putatan, dekat sini, hari ini.

Majlis yang bermula jam 10 pagi itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tusin yang diiringi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag.

Dalam majlis tersebut, Tun Musa diiringi Hajiji dan Shahelmey turut berkesempatan menyampaikan cek sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Papar dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Putatan yang dikelolakan oleh Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Putatan.

Selain pelbagai hidangan juadah, para hadirin juga dihiburkan acara nyanyian Hari Raya Aidilfitri yang dibarisi oleh bakat-bakat serta penghibur daripada daerah Putatan.