KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Sabah menghantar balik 165 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia melalui Terminal Feri Tawau untuk balik ke negara asal, di sini semalam.
Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program ini membabitkan seramai 90 lelaki dan 39 wanita dijalankan menggunakan pengangkutan laut secara terus ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Katanya, program pemindahan untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2025 masing-masing menggunakan pengangkutan Labuan Express serta Francis Express.
“Semua PTI ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
“Pemindahan ini membabitkan tahanan warga Indonesia dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sitti Saleha berkata, semua tahanan PTI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.
“Pada 2025 sehingga semalam, seramai 165 tahanan PTI warga Indonesia direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut dan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 337 warga asing yang dipindahkan ke negara asal.
“Berdasarkan rekod statistik pemindahan tahanan asing ke negara asal dari Sabah menunjukkan bidangan tertinggi yang dipindahkan adalah warga Indonesia seramai 165 (49 peratus),” jelas Sitti Saleha.
Menurutnya, selepas itu diikuti 145 warga Filipina (43 peratus); 14 warga Pakistan (4 peratus); 11 warga China (3 peratus) dan dua tahanan lain-lain warganegara (1 peratus).
