KOTA KINABALU : Lembaga Koko Malaysia (MCB) bercadang menubuhkan koperasi bagi membantu pembangunan komuniti serta petani di negara ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, langkah ini bagi mengukuhkan lagi nilai ekonomi selaras dengan objektif murni untuk meningkatkan pendapatan golongan petani.

Katanya, penubuhan koperasi dijangka mampu mengukuhkan lagi usaha ekonomi petani disamping membawa peningkatan pendapatan lebih tinggi pada masa depan.
“Kita mahu lebih banyak penubuhan koperasi dalam kalangan petani koko di Sabah. Ini kerana Sabah memegang kedudukan terkemuka sebagai pengeluar utama biji koko di Malaysia.
“Sabah kini menyumbang 60 peratus daripada jumlah pengeluaran koko negara melibatkan kira-kira 6,000 hektar ladang koko majoritinya diuruskan petani kecil,” Katanya di sini hari ini.
Chan berkata, secara tidak langsung penubuhan koperasi ini mampu mengukuhkan nilai ekonomi industri koko sekali gus meningkatkan pendapatan petani.
Sementara dalam perkembangan sama Chan berkata, Sabah akan menjadi tuan rumah kepada Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025 berlangsung pada 24 Mei depan.
“Ini merupakan perhargaan besar kepada Sabah selain menjadi pilihan utama kepada pemain industri koko tempatan dan antarabangsa mempamerkan produk selain berkongsi pengetahuan mereka.
“Objektif utama MICF 2025 ini adalah mempromosikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dari segi pembangunan teknologi dalam industri koko di rantau ini,”jelas Chan.
Menurutnya, MICF 2025 ruang memperkasa semula industri koko selain mampu menjadikan Malaysia khususnya Sabah sebagai hub pengeluaran biji koko di Asia.
“Kita menganggarkan kini hanya tinggal 6,000 hektar kawasan penanaman koko di seluruh negara untuk menghasilkan lebih kurang 500 tan biji koko setahun.
“Kita menggalakkan industri meneroka semula penanaman koko di negara ini. Ketuk ini harga jualan biji koko mencecah harga RM46,000 satu tan,” kata Chan.
