KOTA KINABALU : Sabah akan melaksanakan Kurikulum Standard Tadika (KSTJ) membabitkan 17 tadika dibawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) berkuat kuasa bermula Februari ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, pelaksanaan silibus baharu ini adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara sekali gus merupakan perkembangan baik dalam sektor pendidikan di negeri ini.

Katanya, JHEAINS mewujudkan Kurikulum Standard Tadika ini adalah melalui kerjasama pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Selain itu KSTJ ini membabitkan enam guru dari Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya serta seorang merupakan pegawai KEMAS di peringkat Daerah Putatan.
“Lebih membanggakan apabila JHEAINS mampu menyediakan silibus sendiri sekali gus merupakan satu perkembangan yang sangat positif terhadap mutu pendidikan di negeri Sabah,” katanya di sini hari ini.
Ruslan berkata, setakat ini JHEAINS sudah menggubal beberapa dasar bagi mewujudkan silibus ini dalam tempoh masa empat tahun bermula 2021 hingga 2024.

“Apabila terbit silibus baharu ini nanti, JHEAINS tidak akan meminggirkan tahap dasar Falsafah Pendidikan Negara.
“Wujudnya kurikulum standard ini membuktikan ia akan meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke tadika di bawah JHEAINS,” jelas Ruslan.
Mengikut rekod, Sabah memulakan operasi tadika di bawah kendalian Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bermula 1974 di tiga lokasi Kem Lok Kawi, Likas dan Benoni.
Seramai 350 murid berusia enam tahun bergraduasi pada majlis konvokesyen melibatkan 17 tadika JHEAINS di seluruh Sabah.
