TUARAN : Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan kereta jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian kemalangan di Kampung Indai, Tuaran di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohamad Nor Amit berkata, mangsa berumur 24 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian pada jam 7.30 pagi.
Katanya, terdapat tiga orang mangsa dalam kejadian ini manakala pasukan bomba berjaya mengeluarkan dua orang cedera termasuk seorang parah.
“Salah seorang mangsa tercampak keluar dari kereta semasa kemalangan berlaku sekali gus disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan manakala mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Nor berkata, operasi kemudiannya ditamatkan jam 9.15 pagi selepas pasukan bomba membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
