KOTA KINABALU : Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas CEO Jontih Enggihon yang didakwa bertindakmelangkaui bidang kuasanya untuk memberi manfaat kepada “entiti yang berisiko ada konflik kepentingan.”
Dalam kenyataan di sini semalam, SSM memaklumkan pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman mendakwa mendapati ada pelanggaran tanggungjawab fidusiari, kegiatan penipuan, salah nyata (misrepresentation) atau penipuan terhadap lembaga pengarah SMM, serta salah laku oleh Jontih.
“Sebagai tindak balas terhadap dapatan ini, syarikat telah membuat laporan rasmi kepada SPRM dan polis.
“Siasatan telah mengenal pasti beberapa kejadian di mana Jontih bertindak melampaui kuasanya dan tindakannya bertujuan memberi manfaat kepada entiti dengan risiko konflik kepentingan, dengan bersekongkol dengan pihak ketiga yang mewakili kartel berkepentingan.
“Tindakan-tindakan itu dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan lembaga pengarah, yang merupakan satu pelanggaran serius terhadap dasar syarikat dan piawaian tadbir urus,” kata CEO SMM Natasha Sim.
Selain membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan dakwaan salah laku, SMM berkata peguam pihaknya juga meneroka tindakan sivil ke atas Jontih bagi mendapat ganti rugi untuk kerugian kewangan dan kerosakan imej yang dialami syarikat.
Namun, syarikat itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai tindakan yang didakwa dilakukan oleh Jontih.
