KOTA KINABALU : Sabah hanya mencatat seramai 977,460 pelancong sejak berlakunya kesan besar dalam pandemik COVID-19 di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, penurunan itu dikenal pasti sebanyak -77 peratus sebelum jatuh ke paras terendah iaitu 371,187 pelawat pada tahun 2021.
Katanya, jumlah ini hampir sama dengan jumlah pelawat yang direkodkan pada tahun 1997.
“Sektor pelancongan kemudiannya kembali pulih secara beransur-ansur apabila dengan pembukaan sempadan antarabangsa pada April 2022.
“Jumlah ketibaan pelawat pada tahun sama adalah seramai 1,727,740 manakala pada tahun 2023.
“Negeri Sabah menerima pelawat berjumlah 2,613,272orang pelancong iaitu berlaku peningkatan sebanyak 51 peratus pada tahun 2023,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan lisan dalam sesi soal jawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam, Dumi Pg. Masdal pada persidangan Sidang DUN Sabah, di sini hari ini.
Christina berkata, pada tahun 2000, sektor pelancongan negeri merekodkan jumlah ketibaan pelawat seramai 774,475 orang.
“Daripada jumlah tersebut, 365,537 merupakan pelawat domestik manakala 408,938 merupakan pelawat antarabangsa.
“Pada tahun tersebut juga, Sabah hanya mempunyai 173 jumlah penerbangan seminggu dengan kapasiti penumpang sebanyak 21,135 menghubungkan ke tujuh destinasi domestik di Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” jelas Christina.
Menurutnya, pada akhir tahun 2000, Sabah dihubungkan ke sembilan destinasi antarabangsa melalui 55 jumlah penerbangan seminggu dengan kapasiti penumpang sebanyak 21,135.
“Selepas 10 tahun iaitu pada tahun 2010, jumlah tersebut meningkat kepada 2,504,669 pelawat iaitu peningkatan purata sebanyak 22.3 peratus
“Daripada jumlah tersebut, 1,708,716 merupakan pelawat domestik dan 795,953 merupakan pelawat antarabangsa,” kata Christina.
Beliau berkata, pada tahun 2019, Sabah merekodkan jumlah ketibaan pelawat tertinggi iaitu seramai 4,195,903 pelawat manakala 2,726,428 merupakan pelawat domestik serta 1,469,475 merupakan pelawat antarabangsa.
“Jumlah ini melebihi lima kali ganda daripada jumlah ketibaan yang direkodkan pada tahun 2000.
“Pada tahun tersebut, Sabah dihubungkan ke 21 destinasi antarabangsa melalui 223 kekerapan penerbangan seminggu dengan 37,826 kapasiti penumpang seminggu,” tambah Christina.
