TAWAU : Pihak berkuasa perlu meningkatkan lagi operasi bagi memastikan bandar Tawau bebas daripada kegiatan ‘pengemis jalanan’ yang dilihat semakin berleluasa di daerah berkenaan.
Sebelum ini pihak berkuasa sudah pun menjalankan beberapa siri operasi serta serbuan di beberapa lokasi tumpuan namun ‘pengemis jalanan’ ini masih lagi menjalankan kegiatan harian mereka.
Tinjauan di sekitar Bandar Tawau mendapati pengemis jalanan ini seolah-olah menjadikan aktiviti ini sebahagian daripada kerjaya harian mereka.
Seorang pengguna, Mustapha Hasbullah, 55, berkata, ketika cuaca panas atau hujan pengemis jalanan ini terdiri Komuniti Pala’u atau lebih dikenali sebagai ‘Bajau Laut’.
Karanya, mereka sering menjalani kehidupan merai simpati kalangan pengguna lalu lintas untuk meminta wang.
“Mereka mengetuk cermin kereta dan bersandar ketika kereta bergerak perlahan merupakan antara tindakan agresif kanak-kanak Pala’u ketika meminta sedekah di Tawau.
“Antara lokasi tumpuan utama peminta sedekah adalah di sekitar kawasan lampu isyarat berhampiran Masjid Al-Khauthar Daerah Tawau.
“Rata-rata pengguna lalu lintas melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan agresif golongan itu serta bimbang sekiranya berlaku kemalangan,” katanya hari ini.
Mustapha berkata, mungkin fenomena meminta sedekah ini kejadian biasa dalam kalangan penduduk tempatan namun bagi pelancong ia akan menjejaskan imej bandar Tawau.
“Kadang-kadang kita melahirkan rasa takut untuk memandu dan berhenti di lampu isyarat kerana pernah didatangi sekumpulan kanak-kanak Pala’u mengetuk cermin kereta meminta sedekah.
“Kita juga khuatir kalau terlanggar kanak-kanak ini tetapi mereka begitu berani dan tidak takut walaupun ditegur,” jelas Mustapha.
Dalam pada itu, Anthony Lamai, 45, mengesyaki tindakan pengemis itu didalangi sindiket yang mempergunakan kanak-kanak Pala’u sebagai pengemis jalan.
“Saya ada terlihat, setiap pagi ada kereta yang menghantar kanak-kanak Pala’u ini ke lampu isyarat Perdana dan kemungkinan golongan ini dimanfaatkan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan,” katanya.
Anthony berkata, ada juga terdapat beberapa wanita Pala’u yang mengendong bayi bagi menimbulkan rasa simpati orang ramai ketika meminta sedekah di lampu isyarat.
