KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan seramai 586,501 kemasukan pelawat asing antara paling tertinggi setakat bulan Ogos di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sehingga kini negara China, Brunei Darussalam, Indonesia serta Filipina merupakan antara empat negara penyumbang terhadap peningkatan statistik berkenaan.
Katanya, pihaknya yakin jumlah kemasukan pelawat asing dari empat negara ini dijangka akan terus meningkat menjelang akhir tahun ini.
“Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen negeri Sabah, kemasukan pelawat asing ke negeri ini dalam tempoh lima tahun iaitu 2020 sehingga Ogos 2024, jelas
menunjukkan peningkatan drastik terutamanya dari negara China, Brunei, Indonesia dan Filipina.
“Mengambil kira rekod itu, sebagai contoh untuk tempoh sepanjang tahun 2023 sahaja, jumlah kemasukan pelawat asing ke Sabah dari empat negara berkenaan adalah seramai 427,077 orang,” katanya di sini semalam.
Hajiji berkata, faktor sistem tadbir urus dan kerjasama baik dalam pengurusan imigresen efisien antara dikenal pasti penyumbang kepada memudahkan kemasukan pelawat termasuk pelabur asing ke negeri ini.
“Kita mahu agar semua warga Jabatan Imigresen negeri terus melaksanakan tugas serta memberikan perkhidmatan cekap, mesra, berintegriti dan profesional.
“Sabah mempunyai kelusan lebih 72,000 kilometer persegi sudah pasti memberi cabaran kepada Jabatan Imigresen Negeri untuk menguruskan kemasukan pelancong dan warga asing ke negeri ini,” jelas Hajiji.
Menurutnya, sehubungan itu kerajaan negeri meluluskan pembinaan dua kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Negeri Sabah iaitu di ICQS Bantul dan ICQS Serudong, pada tahun lalu.
“Projek pembangunan di ICQS itu kini sedang dilaksanakan dalam merealisasikan hasrat pembukaan pintu sempadan antarabangsa darat yang pertama di Sabah,” kata Hajiji.
