SK Ulu Ansuan Telupid terima peruntukan penambahbaikan dan kemudahan berjumlah RM12.5 juta – KPM

KUALA LUMPUR : Susulan pendedahan portal Sabah News Today berkaitan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan Telupid, George Odol yang akan bersara wajib pada 27 Nov ini, tinggal di dalam sebuah stor sekolah selama lebih tiga tahun.

Hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan peruntukan penambahbaikan dan kemudahan berjumlah RM12.5 juta di SK Ulu Ansuan.

Kenyataan itu menyebut KPM akan menambahbaik kemudahan demi kesejahteraan seluruh warga sekolah berkenaan.

“Kerja-kerja pembinaan melibatkan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot sedang rancak berjalan.

“Pembinaan empat unit kuarters baharu di SK Ulu Ansuan juga telah diluluskan semasa pembentangan Belanjawan 2024.

“Kesemua projek penambahbaikan dan kemudahan di SK Ulu Ansuan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM12.5 juta,” menurut KPM dalam kenyataan media, hari ini.

Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di sekolah itu pula, KPM telah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000,” katanya.

Sebelum ini Portal Sabah News Today media pertama memaparkan masalah yang dihadapi Guru Besar George Odol sehingga tular di laman sosial.

Dalam pada itu, KPM terus bertekad untuk menambah baik kemudahan di semua sekolah di seluruh negara yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara.

Semalam, media melaporkan Guru Besar SK Ulu Ansuan, George Odol yang akan bersara wajib pada 27 Nov ini, tinggal di dalam sebuah stor sekolah selama lebih tiga tahun untuk meneruskan perjuangannya mendidik anak bangsa.