KUALA LUMPUR: Kebenaran membuka semula industri spa, salun kecantikan, refleksologi, pusat kesihatan dan urut pada 1 Oktober 2021 merupakan tindakan positif dibawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew berkata, ini sudah pasti memberi khabar gembira kepada pengusaha industri tersebut sekali gus memperlihatkan Sabah mencatatkan kerugian dianggarkan sekurang-kurangnya RM329 juta sehingga 31 Ogos 2021 lalu.
Katanya, jumlah itu melibatkan 269 premis di seluruh negara yang merupakan ahli kepada Persatuan Kesihatan dan Spa Malaysia (MAWSPA). Kerugian dianggarkan itu adalah sejak pandemik COVID-19 menular dalam negara tahun lalu.
“Di Sabah saja, sekurang-kurangnya lebih daripada 50 pengusaha spa telah tutup operasi disebabkan tidak lagi mampu bertahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Christina menjelaskan Presiden MAWSPA Datin Dorothea Justin Moduying pernah menyatakan daripada 600 lebih premis ahlinya, kini hanya tinggal 269 beroperasi.
Katanya, kebenaran operasi industri berkenaan di Sabah juga sangat dialu-alukan, dan sudah pasti Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat akan dipatuhi dengan memastikan para kakitangan serta pelanggan wajib lengkap dua dos vaksinasi.
Selain itu, Christina juga memuji keputusan kerajaan untuk membenarkan premis berkaitan pelancongan untuk beroperasi pada 1 Oktober 2021.