KOTA KINABALU: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA) menggesa tindakan tegas selepas beberapa pelancong dilaporkan cedera akibat disasarkan sindiket yang bergerak di kawasan tumpuan pelancong di Kota Kinabalu.
Presiden SATTA, Datuk Seri Winston Liaw, berkata kejadian ini bukan sahaja membahayakan pelancong tetapi turut menjejaskan sektor pelancongan yang sudah perlahan selepas pandemik.
Katanya, ramai pelancong kini lebih suka terus ke Tawau untuk ke Semporna, meninggalkan Kota Kinabalu dengan jumlah ketibaan sederhana.
“Airbnb, hotel bajet, malah hotel mewah empat dan lima bintang turut terkesan. Kami mahu tindakan segera bagi melindungi pelancong dan reputasi Sabah,” katanya dalam kenyataan hari inj.
SATTA mencadangkan penubuhan Jabatan Polis Pelancongan, peningkatan denda daripada RM1,000 ke RM10,000, serta siasatan dan tangkapan segera terhadap pelaku.
Kejadian seumpama ini pernah berlaku dalam enam bulan terakhir, dan berita ini kini tular di media sosial China, menyebabkan ramai pelancong keberatan ke Sabah.
“Imej pelancongan Sabah tercemar. Tindakan segera diperlukan sebelum lebih ramai pelancong hilang keyakinan,” tegas Liaw.
