Premis perniagaan didenda, gagal perbaharui lesen runcit

Georgie Abas (Gambar fail)

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah mengambil tindakan terhadap sebuah premis perniagaan yang gagal memperbaharui lesen perniagaannya.
Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata tindakan itu dikesan semasa pasukannya menjalankan pemeriksaan di beberapa premis perniagaan sekitar daerah ini.

“Semasa diperiksa premis perniagaan terbabit melakukan kesalahan gagal memperbaharui lesen runcit menjual barang kawalan iaitu gas petroleum cecair.

“Pasukan penguatkuasa kemudiannya menyita tiga tong gas petroleum cecair daripada premis perniagaan terbabit untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya lesen runcit menjual barang kawalan berjadual seperti gula, minyak masak, tepung gandum dan gas petroleum cecair adalah dikeluarkan oleh KPDNHEP.

Permohonan baru dan pembaharuan lesen tersebut boleh dimohon secara di atas talian dengan melayari https://bless2.bless.gov.my/bless2/login.

Sementara itu dalam pemeriksaan berasingan KPDNHEP turut menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut terhadap aduan pengguna melalui media sosial yang mendakwa harga anggur Korea Shine Muscat Grapes adalah sangat mahal iaitu dua kilogram dijual pada harga RM330.

Georgie berkata selepas diperiksa pihak pengurus perniagaan memaklumkan bahawa anggur tersebut adalah yang diimport dari Korea dan stok buah berkenaan juga adalah terhad kerana pihak pembekal hanya dapat membekalkan hanya sekotak Korea Shine Muscat Grapes.

“Bagi tindakan lanjut, pegawai KPDNHEP Sabah menyerahkan satu Notis Pengesahan Makluman Barangan kepada pemilik perniagaan ini untuk mendapatkan maklumat harga dan kos barangan serta dokumen yang lengkap,” katanya.

Sabahnewstoday

Leave a Reply