Pembangunan infrastruktur pendidikan menyeluruh penting – Arthur

KENINGAU: Sebanyak RM50,000 akan disumbangkan kepada Majlis Guru Besar Daerah Keningau bagi membantu persatuan tersebut memperkukuhkan jaringannya disamping membantu dalam pelaksanaan program-program pemerkasaan pendidikan di kawasan Pedalaman Sabah meliputi Sook, Tulid, Nabawan, Pagalungan dan Pensiangan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, yang juga Ahli Parlimen P.182 Pensiangan, memberi kelulusan tersebut di Sesi Libat Urus Bersama Guru-Guru Besar Zon Pedalaman anjuran Majlis Guru Besar Daerah Keningau.

Turut diraikan, seramai 17 orang mantan guru besar di daerah ini yang telah bersara wajib dan juga bersara pilihan pada tahun 2020 dan 2021.

Beliau menegaskan guru besar memainkan peranan yang amat penting untuk merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melonjakkan sistem pendidikan negara.

Katanya, ini termasuk mengamalkan prinsip kepimpinan terbuka, proaktif dan responsif terhadap tuntutan-tuntutan baharu dan mengutamakan pelanggan.

“Peranan yang dimainkan para guru besar bukan sahaja memberi impak besar terhadap pembinaan minda generasi muda, malah amat penting bagi mencorakkan gaya hidup yang positif dalam kalangan mereka,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar pesara guru besar dapat terus menyumbang kepada komuniti, membantu menyalurkan pendapat dan melibatkan diri dengan kerja-kerja sosial seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), koperasi dan badan-badan amal yang mempunyai kaitan dengan pendidikan.

Di sesi tersebut, Arthur turut memberikan perkembangan terkini tentang infrastruktur pendidikan merangkumi memperluaskan capaian internet, memastikan ketersambungan jalan raya di kawasan pedalaman dan menaik taraf sekolah daif sedang giat dilaksanakan.

Beliau menjelaskan pembinaan 46 menara telekomunikasi yang baharu serta menaik taraf 44 menara sedia ada kepada rangkaian 4G sedang giat dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Pelajar-pelajar di kampung yang jauh seperti Babalitan, Salitan, Saliliran, Pohon Batu dan Nangkawan akan dapat menikmati rangkaian telekomunikasi yang lebih baik serta akses kepada capaian internet yang lebih pantas seterusnya memudahkan akses kepada pembelajaran dalam talian.

Manakala kemajuan kerja fizikal sebanyak enam peratus telah dicapai bagi projek menaik taraf jalan Sapulut ke Pekan Pagalungan seterusnya ke Pekan Pensiangan sepanjang 56 kilometer yang telah bermula sejak Julai 2021.

“Apabila siap dibina, para guru-guru dan anak murid akan menikmati masa perjalanan yang lebih pendek daripada tiga jam kepada satu jam serta keadaan jalan yang lebih selesa serta selamat,” katanya.

Menurutnya, sebanyak tiga buah sekolah daif juga telah siap dinaik taraf iaitu SK Panagatan, SJKC Cheng Ming dan SK Inandung.

Manakala beberapa buah sekolah seperti SK Pekan Nabawan, SK Simbuan, SK Sapulut, Sekolah K9 Pekan Pensiangan dan SK Ponontomon sedang dalam pelaksanaan.

“Selain itu, pembinaan bangunan baharu sebagai pusat tingkatan enam yang mengandungi 12 bilik darjah, makmal komputer, bilik guru dan lain-lain kemudahan di SMK Nabawan juga telah diluluskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Pendidikan yang inklusif merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan sejak dahulu lagi,” katanya

Beliau percaya melalui pendidikan yang inklusif dan mampan, generasi muda yang berpengetahuan tinggi dapat dilahirkan untuk menjadi pemimpin masa hadapan.