SANDAKAN: Pelbagai program dan inisiatif telah dirancang oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan bagi menyokong pembangunan usahawan serta mewujudkan industri yang berdaya tahan dan mapan.
Pembantu Menterinya, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata program yang dirancang itu akan dapat mengoptimumkan prestasi usahawan serta mewujudkan peluang untuk usahawan berkembang dengan lebih maju.
“Ke arah itu, Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan bagi Bantuan SME-Up pada tahun ini kepada RM15 juta berbanding RM10 juta pada tahun 2022.
“Dengan tambahan peruntukan ini, kementerian melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) telah menambah lagi kategori bantuan kepada Program Persijilan MeSTI dan Halal.
“Menerusi program ini, ia akan membantu mengurangkan bebanan Usahawan PMKS bagi mendapatkan Pensijilan MeSTI dan Halal bagi produk mereka,” katanya ketika Majlis Perasmian Karnival Usahawan PMKS Sabah Zon Sandakan di Padang Bandaran Sandakan di sini, hari ini.
Menurut Andy, kementeriannya melalui DIDR akan membuka lagi Pusat Produk IKS di beberapa daerah bagi menyediakan ruang untuk mengumpul, mempamer, mempromosi dan menjual produk keluaran usahawan tempatan.
“DIDR akan membuka dua lagi Pusat Produk IKS Sabah pada tahun ini iaitu di Tawau dan Lahad Datu. Manakala bagi Sandakan, saya difahamkan akan dibuka pada tahun hadapan,” jelasnya.
Ketika ini, terdapat lapan Pusat Produk IKS telah dibuka di seluruh negeri termasuk di Wisma Tun Fuad Stephens, Beaufort, Ranau, Papar, Kota Marudu, Pasaraya Oceanus dan Tuaran.
Sebanyak 30 gerai pameran di bawah agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta 100 gerai jualan Usahawan PMKS dan peniaga telah terlibat dalam Karnival Usahawan PMKS Sabah Zon Sandakan itu yang berlangsung selama tiga hari.