KOTA KINABALU: Gerakan United Borneo Front (UBF) dimulakan tahun 2010 akan diteruskan untuk berkongsi pengetahuan serta kesedaran bagi memulihkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Pengasas UBF yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, gerakan berasaskan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dirintis beberapa orang itu, kini telah mencapai beberapa kejayaan.
“Impak utama gerakan UBF ialah kesedaran ramai orang termasuk pemimpin dalam parti-parti politik untuk memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Dr. Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ulang Tahun UBF Ke-11, Perasmian Penamaan Dewan Guandee Kohoi dan Pra-Krismas di Sokid Villa minggu lalu.
Dr Jeffrey berkata, melalui UBF tercetuslah program Borneo Tea Party di Sabah, Borneo Heritage Foundation (Sabah dan Sarawak) serta Borneo Dayak Forum (Tanah Besar Borneo) melalui Borneo Dayak Organisation yang dipimpinnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan menjelaskan, Borneo Tea Party yang diilhamkan dari sejarah Boston Tea Party di Amerika telah menunjukkan hasil gerakan yang efektif.
Program di Amerika itu dilatari suatu tindakan memprotes bagi mencapai kemerdekaan dari penjajah British.
Merujuk keadaan sekarang, Dr. Jeffrey berkata, perjuangan yang telah dilaksanakan melalui UBF tidak sia-sia kerana ramai pemimpin berebut-rebut dan berlumba-lumba mahu menjadi hero memperjuangkan hak-hak Sabah dan kemerdekaan Sabah dan Sarawak.
Beliau menambah, gelombang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini yang menunjukkan rakyat menyokong parti-parti tempatan dan menolak parti-parti dari seberang perlu mendapat perhatian dalam gerakan UBF kerana trend mutakhir itu mungkin akan berlaku di Sabah.
“Pengaruh trend itu ditambah lagi dengan wujudnya 20-40 peratus golongan pengundi muda yang mungkin boleh membawa pengaruh yang besar,” katanya.
Mengimbas kembali gerakan UBF, beberapa pelopor bersama Dr Jeffrey iaitu allahyarham Zainal Ajamain, Nila Krishna dan Datuk Badarudin yang dipacu pelaksanaannya oleh Phillip Among dan Ady Kaloy.
Borneo Tea Party menggunakan pendidikan untuk berkongsi kesedaran di mana ramai cerdik pandai melibatkan diri sebagai penceramah tentang fakta-fakta perjuangan pemimpin awal Sabahan, kemusykilan dan ketidakpuasan tentang kedudukan Sabah dan Sarawak.
“Sarawak kini menyambut hari kemerdekaannya dan kita jugalah sebenarnya yang yang telah memulakan dan menyemarakkan perjuangan hak-hak di Sarawak,” katanya.