COVID: 51 kes positif baharu daripada Penjara Kepayan

KOTA KINABALU: Sebanyak 51 kes daripada keseluruhan 242 kes baharu COVID-19 di Sabah hari ini adalah daripada Kluster Tembok di Penjara Kepayan di sini, kata Menteri Kerajaan Tempatan  dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata jumlah kes baharu Kluster Tembok itu juga menyumbang kepada 99 kes baharu di Kota Kinabalu hari ini dengan 66 kes dikesan melalui saringan kluster dan 33 kes lagi daripada saringan lain.

“Selain Kluster Tembok, turut mencatat kes baharu di Kota Kinabalu hari ini ialah dua kluster  melibatkan  pekerja di pelantar minyak iaitu Kluster Ocean Blue dan Kluster Coral masing-masing mencatat lima kes hari ini.

Sementara itu, beliau berkata satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Limbawang di Beaufort melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti dipercayai tercetus semasa majlis pengebumian di Kampung Gelilia Padas Damit pada 20 Jun lepas.

“Kes indeks seorang lelaki berusia 35 tahun dari Kampung Kelabu disahkan positif ujian saringan di Klinik Kesihatan Padas Damit pada 21 Jun lepas setelah mengalami gejala demam sejak 19 Jun…sehingga hari ini sebanyak 30 kes dikesan melibatkan kluster ini,” katanya.

— BERNAMA