Ada cubaan tukar nama penyewa PPR Sapagaya – UMNO Lahad Datu

LAHAD DATU : Desas desus dari sumber yang dipercayai bahawa terdapat usaha oleh pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) untuk menukar nama penyewa di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sapagaya.

Difahamkan, nama yang sudah dimuktamadkan dengan nama kroni politik pemimpin tersebut telah menyebabkan kerisauan dikalangan penyewa yang sudah bersedia untuk menduduki rumah PPR berkenaan.

Ketua Bahagian UMNO Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul hari ini tampil menempelak usaha pemimpin tersebut dan menyifatkan usaha ini sebagai “Kerja Kotor” yang keji.”

Katanya PPR Sapagaya ini adalah hasil dari peruntukan kerajaan persekutuan, jangan ada antara pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang sewenang-wenangnya menggunakan kedudukan mereka menindas penama asal yang disenaraikan sebagai penyewa.

“UMNO sangat dekat dengan masalah rakyat dan akan sentiasa mengikuti perkembangan urusan PPR Sapagaya dari masa ke semasa..UMNO memgingatkan bahawa jika terdapat ketirisan dan pilih kasih,maka UMNO akan membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Menurut Sharif Musa, fasa satu urusan penyewa telah selesai dengan 106 penyewa telah dipanggil bagi cabutan Lot kediaman tersebut.

Namun, katanya, bagi 304 lagi kediaman akan melalui proses yang sama dan nama penyewa telah tersedia melalui proses lebih awal sebelum ini.

“Namun sudah terdengar cubaan pemimpin PGRS untuk menukar dan menyenaraikan penyewa yang terdiri dari penyokong politik beliau.

“Saya ingin bertanya kepada Menteri KKTP Sabah,apakah ini juga adalah satu kebiasaan sama seperti mencuri Ahli parti sahabat sendiri.

“Sepatutnya tidak timbul lagi perubahan nama penyewa terbabit kerana proses pemilihan dan tapisan telah lama berjalan,” katanya.

Beliau berkata UMNO Lahad Datu komited mempertahankan hak dan kebenaran setiap anak jati Lahad Datu.

Katanya cukup-cukuplah dengan segala kemewahan dan peluang yang diambil selama mereka menjadi orang politik selama ini.

Dalam pada itu, Sharif Musa berkata proses Fasa 2 untuk semua penyewa diharap akan menjadi satu urusan yang adil dan bertanggungjawab sesuai dengan tujuan Pembinaan PPR bagi membantu mengurangkan tekanan hidup masyarakat yang terpaksa menyewa rumah dalam kadar yang sangat mahal.