KOTA KINABALU: Seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis bagi meminta siasatan dijalankan terhadap penganjuran Demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 3.0 yang dijadual berlangsung di Kota Kinabalu pada Julai depan.
Datuk Jerry Ambuting Mohd Said berkata, beliau mengambil langkah itu selepas meneliti siri hebahan dan kempen mobilisasi yang sedang giat dijalankan oleh pihak penganjur menerusi pelbagai platform media sosial.
Bekas Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Sabah itu berkata, beliau bimbang perhimpunan berkenaan berpotensi menimbulkan gangguan terhadap ketenteraman awam sekiranya tidak dikendalikan dengan baik.
Menurutnya, demonstrasi tersebut dianjurkan oleh Suara Mahasiswa UMS dan Bersih Sabah menerusi Sekretariat Gempur Rasuah Sabah 3.0.
“Saya menghormati hak mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan, namun ia perlu dilakukan mengikut saluran yang sah serta mematuhi undang-undang sedia ada.
“Kita tidak mahu berlaku sebarang insiden yang boleh menjejaskan keamanan, keselamatan awam dan keharmonian masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di IPD Kota Kinabalu.
Jerry berkata, beliau turut meminta pihak polis menyiasat semua pihak yang mempunyai kaitan dengan penganjuran program itu termasuk aspek pembiayaan dan sumber dana yang digunakan bagi menggerakkan aktiviti jelajah serta mobilisasi peserta.
Katanya, seruan terbuka yang menyasarkan golongan mahasiswa, belia dan Generasi Z untuk menyertai demonstrasi jalanan perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara dan sebarang perhimpunan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang negara.
“Keamanan dan kestabilan Sabah perlu menjadi keutamaan semua pihak,” katanya.
