James Ratib pertahan kenyataan isu sekolah daif Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib mempertahankan kenyataannya berhubung isu sekolah daif di Sabah selepas dikritik Wira Parti Warisan.

Menurut beliau, terdapat perbezaan jelas antara “sekolah daif” dan “bangunan daif” yang tidak boleh disamakan.

James berkata, sekolah daif merujuk kepada keseluruhan ekosistem pendidikan termasuk sistem pembelajaran, capaian internet, pengurusan sekolah dan akses pendidikan, manakala bangunan daif hanya melibatkan keadaan fizikal bangunan sekolah.

“Ia tidak bermaksud keseluruhan sistem sekolah tersebut adalah daif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah menafikan masih terdapat cabaran pendidikan di Sabah termasuk isu keciciran pelajar, akses internet dan kemudahan pendidikan di kawasan pedalaman.

Menurutnya, KPSTI bersama kerajaan negeri telah melaksanakan 14 inisiatif pendidikan termasuk bantuan komputer, bantuan sekolah, bantuan mahasiswa dan biasiswa untuk memperkukuh akses pendidikan di Sabah.

James turut berkata, usaha pemasangan internet di sekolah luar bandar melalui kerjasama bersama YTL kini hampir 80 peratus siap selain kerajaan negeri memohon bantuan smartboard daripada MCMC bagi memperkukuh pendidikan digital di Sabah.