Sabah FC buru kejuaraan, 2,000 tiket percuma untuk penyokong

KOTA KINABALU: Sabah FC berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan apabila mara ke final MFL Challenge Cup 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Likas pada 19 April ini.

Perlawanan akhir itu dijangka berlangsung sengit selepas aksi pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan & Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Hj Nizam Bin DSP Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri akan mengagihkan 2,000 tiket percuma kepada penyokong sebagai tanda sokongan kepada pasukan.

Menurutnya, pengagihan tiket akan dibuat secara ‘first come, first serve’ bagi memastikan stadium dipenuhi penyokong.

Beliau turut menyeru peminat bola sepak Sabah hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sabah FC.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan pemberian bonus sekiranya Sabah FC berjaya menjulang kejuaraan.