Isu 40 peratus Sabah: Hentikan politik bermusim, fokus penyelesaian – Farid

KOTA KINABALU: Kenyataan balas terhadap kritikan Parti Warisan mengenai tuntutan 40 peratus Sabah menyaksikan Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri, menegaskan bahawa isu berkenaan tidak wajar dipolitikkan secara bermusim.

Menurut beliau, tiada pihak di Sabah menolak hak 40 peratus seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, namun pendekatan berterusan dan konsisten perlu diutamakan berbanding retorik politik.

Farid turut membangkitkan bahawa ketika Warisan menerajui kerajaan negeri pada 2019, pendekatan perundangan terhadap kerajaan persekutuan dianggap kurang wajar dan tiada pelan jelas dikemukakan berhubung tuntutan tersebut.

Katanya, di bawah kerajaan MADANI, beberapa kemajuan telah dicapai termasuk peningkatan geran khas interim kepada RM600 juta setahun serta komitmen mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Beliau menegaskan bahawa proses semakan, rayuan dan rundingan adalah sebahagian daripada prosedur perundangan yang sah dan tidak harus disalah tafsir sebagai penafian hak Sabah.