KOTA KINABALU: Naib Ketua AMK Sabah, Eldridge Laurence Timis, menggesa Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mempertimbangkan peletakan jawatan susulan polemik tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang masih belum dimuktamadkan.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata kegagalan mencapai penyelesaian konkrit dalam rundingan menimbulkan kekecewaan, selain mempersoalkan keberkesanan peranan kedua-dua pemimpin tersebut.
Menurutnya, proses rundingan yang sedang berjalan antara kerajaan negeri dan Persekutuan merupakan pendekatan terbaik setakat ini selepas sekian lama tiada perkembangan signifikan.
“Penyelesaian teknikal antara kerajaan perlu diberi ruang secukupnya bagi memuktamadkan formula serta jumlah bayaran berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Eldridge berkata, isu itu tidak wajar dipolitikkan kerana kegagalan mencapai persetujuan akan mencerminkan kelemahan kedua-dua pihak.
Beliau menambah, rakyat Sabah kini menuntut kepimpinan yang mampu mencapai hasil, bukan sekadar retorik politik berterusan.
