Sabah sasar SSL beras 40 peratus menjelang 2030

TELUPID – Sabah menyasarkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2030 menerusi pemulihan sawah padi terbiar dan penambahbaikan infrastruktur pengairan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, langkah itu penting dalam usaha memperkukuh sekuriti makanan negeri di samping meningkatkan keupayaan pengeluaran beras tempatan.

Menurut beliau, pembangunan semula kira-kira 4,000 hektar sawah padi terbiar berpotensi meningkatkan SSL beras Sabah sekurang-kurangnya 20 peratus.

“Jika kita dapat membangunkan sawah padi terbiar seluas kira-kira 4,000 hektar, sekurang-kurangnya ia mampu meningkatkan SSL sebanyak 20 peratus. Ini bermakna menjelang 2030, SSL boleh mencecah sekitar 40 peratus,” katanya ketika ditemui media pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus bagi memuktamadkan konsep reka bentuk projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur pengairan serta saliran di Skim Pengairan Trusan Sapi.

Jamawi berkata, kawasan Trusan Sapi yang melibatkan kira-kira 3,000 hektar sawah juga berpotensi menyumbang peningkatan SSL sebanyak 10 peratus sekiranya sistem pengairan dapat diperkasakan.

Menurutnya, selain pembangunan infrastruktur, penggunaan mekanisasi pertanian dan penambahan kapasiti kilang padi turut perlu diberi perhatian bagi memastikan peningkatan hasil dapat dicapai secara mampan.

“Ini bukan hanya soal pengeluaran padi, tetapi soal jaminan makanan dan masa depan ekonomi petani di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkasakan sektor padi negeri juga akan memberi kesan langsung kepada pendapatan petani dan kestabilan bekalan makanan Sabah dalam jangka panjang.