Pemuda Gagasan Rakyat bimbang penangguhan bayaran 40 peratus Sabah

KOTA KINABALU: Penangguhan pelaksanaan bayaran 40 peratus hasil Sabah menimbulkan kebimbangan berhubung komitmen pelaksanaannya, kata Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun kerajaan persekutuan mengiktiraf formula 40 peratus dan keperluan semakan, keputusan menangguhkan pelaksanaan memberi isyarat kurang meyakinkan.

Menurutnya, rayuan berkaitan “tahun-tahun hilang” dari 1974 hingga 2021 tidak seharusnya menghalang pelaksanaan hak bagi tahun semasa.

“Pelaksanaan semasa dan isu sejarah perlu ditangani secara berasingan,” katanya dalam kenyataan.

Azrul berkata, Sabah memerlukan peruntukan tambahan itu bagi pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, hak 40% bukan “bargaining chip” politik, sebaliknya hak perlembagaan yang perlu dilaksanakan.

Beliau turut menggesa kerajaan menyediakan garis masa jelas mengenai pelaksanaan semakan dan pembayaran.