UMS ambil langkah perundangan tangani salah guna nama, logo di media sosial

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan susulan termasuk melalui saluran perundangan bagi menangani isu penyalahgunaan nama dan logo universiti di media sosial.

Dalam kenyataan hari ini, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata tindakan itu dilaksanakan secara bersepadu bagi memastikan perkara berkenaan ditangani dengan segera dan berkesan.

Menurut beliau, universiti turut menjalankan pemantauan berterusan terhadap kandungan dan akaun berkaitan selain memperkukuh saluran komunikasi rasmi sebagai rujukan utama kepada warga kampus dan masyarakat.

“UMS sentiasa menghargai keterlibatan dan keprihatinan warga pelajar dalam menyuarakan pandangan serta menyumbang kepada pembangunan universiti dan masyarakat.

“Namun, bagi memastikan setiap maklumat yang dikongsi adalah tepat, sahih dan memberi manfaat kepada semua, tindakan susulan perlu diambil secara sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kasim berkata, identiti universiti adalah amanah bersama yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

Sehubungan itu, katanya, sebarang perkara berkaitan hal ehwal pelajar termasuk kenyataan yang mewakili universiti kepada masyarakat umum digalakkan disalurkan melalui saluran rasmi universiti serta diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan penyampaian maklumat lebih tersusun, tepat dan berkesan.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh warga UMS supaya terus mengamalkan komunikasi yang berhemah, berfakta, saling menghormati dan mematuhi peraturan selaras dengan nilai universiti sebagai “Brain of Borneo”.

“UMS akan terus komited dalam memelihara kepercayaan masyarakat serta memastikan persekitaran kampus yang inklusif, bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya lagi.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya merujuk saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat yang sahih.