Gempur PATI di Sabah: 22 Ditahan Dalam Operasi Serentak

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melalui unit penguatkuasaannya melancarkan operasi di sekitar daerah Kota Kinabalu dan Penampang, dengan tujuan membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai melanggar undang-undang imigresen.

Operasi yang melibatkan 17 pegawai penguatkuasa tersebut memeriksa 17 individu, terdiri daripada 9 warganegara Malaysia dan 8 warga asing.

Daripada jumlah itu, dua warga asing ditahan, seorang lelaki dan seorang wanita yang masing-masing adalah warganegara Filipina, kerana disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan berkaitan, Bahagian Penguatkuasaan JIM Sipitang turut menjalankan operasi berasingan yang membabitkan 14 pegawai.

Hasilnya, seramai 20 warga asing ditahan di daerah Sipitang kerana disyaki melanggar undang-undang sama serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Antara yang ditahan termasuk:

Warganegara Indonesia – 2 lelaki dewasa, 2 perempuan dewasa, 5 kanak-kanak lelaki dan 6 kanak-kanak perempuan.

Warganegara Filipina – 2 lelaki dewasa, 1 perempuan dewasa dan 2 kanak-kanak perempuan.

Pihak imigresen menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu, majikan atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI, dan operasi jenis ini akan diteruskan secara berterusan.

Orang ramai turut diingatkan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kehadiran PATI kepada pihak berkuasa demi keselamatan dan kedaulatan negara