Wilfred Madius gesa semakan geran kapitasi setiap 10 tahun

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, menggesa kerajaan persekutuan melaksanakan sepenuhnya kehendak Perlembagaan, khususnya berkaitan kewangan antara negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata kadar Geran Kapitasi tidak disemak menyeluruh lebih 20 tahun, walaupun kos sara hidup meningkat dan tanggungjawab negeri bertambah.

“Saya menyokong agar semakan dibuat setiap 10 tahun selaras dengan banci penduduk,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Geran Mengikut Bilangan Orang di Dewan Rakyat semalam.

Madius juga mengingatkan kerajaan supaya mengambil iktibar daripada kegagalan melaksanakan Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, yang masih belum dilaksanakan selepas lebih 50 tahun.

Beliau menyokong cadangan menaikkan kadar geran kepada 25 peratus bagi membetulkan ketidakseimbangan fiskal.

Katanya, kekurangan dana di peringkat negeri boleh menunda projek pembangunan dan menimbulkan kos lebih tinggi dalam jangka panjang.

Madius turut menggesa supaya formula geran masa depan mengambil kira keluasan geografi, kos penyampaian perkhidmatan dan tahap pembangunan negeri.

Walaupun Sabah menerima agihan kedua tertinggi selepas Selangor, ramai rakyat Sabah masih tidak puas hati kerana pemberian itu turut merangkumi individu yang didakwa memperoleh kewarganegaraan melalui “projek IC”.

Beliau merujuk laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah pada 2012, yang mengesahkan isu ini dan mencadangkan syor penyelesaian.

“Mengapakah syor-syor RCI itu tidak dilaksanakan sehingga kini?” soalnya.

Madius menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan hak rakyat Sabah selagi isu keadilan perlembagaan dan hak negeri tidak diselesaikan secara tuntas.