ADUN Tanjung Papat persoal skala, kos projek solar baharu Sabah

SANDAKAN: Kebimbangan semakin meningkat sama ada usaha terbaharu Sabah memperluas tenaga solar mampu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan elektrik yang berlarutan di negeri itu, khususnya di Pantai Timur.

ADUN Tanjong Papat,  Alex Thien berkata isu kekurangan penjanaan masih mendesak di Pantai Timur apabila gangguan bekalan kerap berlaku akibat defisit kapasiti.

Beliau mengalu-alukan peralihan kepada tenaga lebih bersih, namun menegaskan kapasiti solar yang diumumkan ketika ini terlalu kecil untuk menangani defisit struktur tenaga Sabah.

“Solar satu langkah positif, tetapi 28MW jelas tidak mencukupi untuk menyelesaikan defisit elektrik Sabah, khususnya di Pantai Timur yang sering terjejas dari segi kebolehpercayaan bekalan,” katanya.

Kenyataan itu menyusul pelancaran loji solar terapung pertama Sabah di Babagon Dam berkapasiti 13.2MW, serta ladang solar atas tanah 15MW di Sandakan.Kedua-dua projek itu menyumbang kira-kira 28.2MW tenaga boleh baharu ke dalam grid negeri.

Thien berkata Sabah memerlukan penyelesaian penjanaan asas (baseload) berskala besar seperti hidroelektrik bagi memastikan bekalan berterusan dan kestabilan grid.

“Tenaga hidro mampu membekalkan elektrik sepanjang masa, berbanding solar yang hanya beroperasi pada waktu siang. Ia lebih berkesan dalam menstabilkan frekuensi grid dan margin simpanan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kos projek di Babagon yang dilaporkan melebihi RM4.7 juta bagi setiap megawatt, berbanding anggaran industri antara RM2.5 juta hingga RM3.5 juta setiap megawatt bagi projek solar berskala besar di Malaysia.

“Bagi projek tenaga yang dibiayai dana awam, pulangan pelaburan penting. Perlu ada kejelasan mengenai sebab wujudnya premium kos ini, tempoh pulangan modal, kadar pulangan dalaman yang diunjurkan serta sama ada dana awam, pinjaman atau geran digunakan,” katanya.

Thien menambah, Sabah juga memerlukan infrastruktur sokongan seperti sistem penyimpanan tenaga bateri bagi menangani sifat solar yang berselang-seli, selain pelan hala tuju tenaga menyeluruh melibatkan hidro, gas, pengukuhan grid, sambungan rentas sempadan dan sistem storan.

“Keselamatan tenaga memerlukan pendekatan bersepadu. Solar perlu diperluas melalui perolehan telus, harga kompetitif dan sasaran daya tahan, khususnya untuk Pantai Timur yang paling terkesan,” katanya.